PARIT RAJA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mengemukakan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menegaskan keupayaan sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah rakyat tidak bergantung kepada janji yang terkandung dalam dokumen pilihan raya.
Presiden BERSATU itu berkata, rekod pentadbirannya ketika menerajui negara sebagai Perdana Menteri membuktikan kerajaan mampu berdepan cabaran besar walaupun tidak mempunyai manifesto yang menyentuh isu berkenaan.
Menurut beliau, ketika negara dilanda pandemik COVID-19, tiada mana-mana manifesto yang menjangkakan krisis tersebut, namun kerajaan pimpinannya tetap berjaya menguruskan keadaan sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu, tidak ada manifesto yang menyebut mengenai COVID-19. Tetapi kita tetap dapat menguruskan pandemik itu dengan baik dan tindakan Malaysia ketika itu diiktiraf antara yang terbaik di dunia.
“Ini menunjukkan walaupun tanpa manifesto, kita tetap beramanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberikan,” katanya ketika berucap pada Ceramah Bersatu Demi Johor di Bilik Gerakan Utama PN di Parit Raja, malam tadi.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, perkara paling utama apabila sesebuah kerajaan diberi mandat ialah memastikan amanah yang dipikul dilaksanakan sebaik mungkin, selaras dengan tuntutan agama.
Pada masa sama, beliau turut menyindir gabungan lain yang tampil dengan manifesto tetapi didakwa gagal memenuhi sebahagian besar janji yang dibuat kepada rakyat.
Katanya, terdapat juga penyokong Pakatan Harapan (PH) sendiri yang mempersoalkan pelaksanaan manifesto gabungan itu kerana masih banyak perkara belum ditunaikan sehingga kini.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin menggesa seluruh jentera dan penyokong PN bekerja lebih keras bagi memastikan kadar keluar mengundi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, meningkat pada hari pengundian Sabtu ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini, peratusan keluar mengundi dalam kalangan masyarakat Melayu didapati lebih rendah berbanding kaum lain, sekali gus perlu diberi perhatian.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua penyokong PN mengajak ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang layak mengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada 11 Julai ini serta memberikan sokongan kepada calon PN, Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.










