KUALA LUMPUR: Misi bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza berdepan detik cemas apabila sebuah bot milik Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan dipintas oleh bot laju tentera laut Israel ketika cuba menghampiri wilayah itu.
Menurut penganjur, Global Sumud Flotilla, kapal mereka dihampiri pihak yang memperkenalkan diri sebagai tentera Israel, sambil mengeluarkan arahan tegas kepada semua peserta misi.
Laporan oleh Al Jazeera turut menyebut bahawa individu di atas bot diarahkan berkumpul di bahagian hadapan kapal dalam keadaan mencemaskan.
Penganjur mendakwa situasi bertambah tegang apabila anggota tentera berkenaan mengacukan laser serta senjata separa automatik ke arah peserta, selain mengarahkan mereka berlutut.
Dalam masa sama, komunikasi kapal dilaporkan terganggu, menyebabkan isyarat kecemasan (SOS) terpaksa dihantar.
Sementara itu, Radio Tentera Israel memetik sumber memaklumkan pihak berkuasa negara itu telah memulakan tindakan untuk mengawal bot bantuan terbabit, walaupun ia dikatakan masih berada jauh dari perairan Israel.
Sekatan berterusan yang dikenakan Israel ke atas Gaza sejak sekian lama terus mengundang kritikan masyarakat antarabangsa, khususnya berkaitan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut yang sering berdepan krisis.










