Bolehkah Rentas Negeri Untuk Balik Beraya?

TAHUN lepas kita tidak dibenarkan untuk rentas negeri bagi menyambut hari raya di kampung halaman. Ini kerana antara punca utama kes positif Covid-19 naik mendadak adalah melalui aktiviti rentas negeri.

Kita kena sedar, penyakit berjangkit seperti batuk, selesema, sakit mata dan pelbagai influenza berlaku apabila adanya sentuhan antara manusia pembawa dengan manusia lain yang sihat.

Namun bezanya virus Covid-19 ini lebih mudah berjangkit dan lebih berbahaya berbanding influenza lain, malah mampu membawa maut. Pesakit yang telah pulih juga masih menanggung kesan seperti sakit dada dan ambil ubat berterusan.

Banyak kes yang berlaku di negara kita sebenarnya kita tak sedar pun bahawa dikalangan komuniti dan masyarakat sudah ada virus Covid-19. Sebabnya tiada sebarang simptom kerana mungkin antibody badan kita agak kuat.

Kita dalam diam mungkin sudah dijangkiti dan menjangkiti orang lain tanpa sedar. Ini berlaku apabila kita tak ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti bersentuhan, berpelukan dan sebagainya.

Jadi sejak kita berusaha imbangi ekonomi, kehidupan, pendidikan dan kesihatan (dengan membuka sektor ekonomi dan sosial), kita dapati banyak kes sporadis berlaku di tempat kerja (bermaksud virus itu sudah ada di kalangan orang ramai/masyarakat/keluarga tanpa kita sedar).

Itulah sebabnya secara tiba-tiba tanpa kita tahu dari mana punca virus itu, kita atau rakan sepejabat kita sudah dijangkiti virus Covid-19 ini.

Semua ini berlaku tanpa kita tahu sebenarnya. Contohnya pembawa virus yang sihat dan tiada gejala, balik ke rumah atau kampung halaman dengan niat mahu lepas rindu kepada keluarga, akhirnya dapat lagi sporadik melalui situ.

Keadaan ini akan terus merebak dan merebak jika kita tak hadkan pergerakan manusia seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kita ambil contoh kes di Kelantan baru-baru ini. Kes dicatatkan meningkat kerana banyak berpunca dari majlis kenduri dan keramaian, iaitu 426 kes sehari pada 28 Mac 2021.

Apabila ia sudah dibenarkan, maka ramai orang kita yang menganjurkan majlis kenduri dan keramaian. Aktiviti bertemu muka, bersalaman, berpelukan, bersentuhan pun berlaku.

Bagi kebanyakan orang kita, apabila kerajaan sudah benarkan atau longgarkan SOP itu, maka seolah-olah virus pun sudah tiada di situ. Itu suatu stikma yang amat-amat salah.

Virus yang membawa maut itu masih banyak dan berada di sekeliling kita walaupun kerajaan membenarkan rentas negeri seluas-luasnya. Risiko masih di tahap yang sama.

Ambil satu lagi contoh di Terengganu. Ada kes berpunca daripada aktiviti balik kampung untuk ziarah atuk sakit, untuk kebumikan jenazah dan sebagainya. Ya, ia perkara yang mulia dan baik, tetapi ia tak bermakna kita bebas dari dijangkiti virus.

Aktiviti yang penuh emosi, kerinduan yang amat sangat, harapannya nak ambil berkat, lalu kita saling bersalaman, berpelukan, bercium, cakap dekat, tidak pakai pelitup hidung dan mulut, lalai daripada membersihkan diri.

Maka akibatnya anak-anak cucu sendiri, bapa saudara, Pak Ngah, Pak Long, Pak Su semua terkena jangkitan virus hingga membawa maut.

Sebab itu dari segi sains kesihatan, untuk kita bendung penularan ini mudah saja. Kita sudah guna formula ini sudah lama, sudah setahun lebih kita ulang hari-hari.

Iaitu kalau tiada sebarang keperluan penting atau mendesak, jadi duduklah di rumah diam-diam.

Mungkin terasa bosan sedikit, namun ia adalah formula paling berkesan untuk kita berhentikan penularan kes ini.

Sesama ahli keluarga pun kita kena perlu berjaga-jaga, kalau balik ke rumah dari luar, bersihkanlah diri sebelum berjumpa anak dan isteri. Bersihkan diri dengan sabun lebih efektif berbanding menggunakan cecair sanitzer.

Sekarang sudah tak lama lagi kita akan masuk ke bulan Ramadan. Sudah berbunyi di sana sini masing-masing mahu ambil berkat Terawih dan mahu pulang ke kampung halaman.

Rata-rata mahu melayan emosi rindu, sedih dan sebagainya. Hati sudah mula meronta-ronta menangis nak balik ke kampung halaman.

Kita boleh balik kampung tetapi mulai sekarang semua mesti guna formula yang diberi oleh pakar-pakar kawalan penyakit berjangkit, hasrat itu hari-hari Ketua Pengarah KKM baca tiap petang.

Kalau nak balik raya, usaha ini bukan dipikul oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan frontliners sahaja. Mulai sekarang semua kena main peranan masing-masing untuk balik raya.

Dengarlah nasihat dari penasihat dan pakar kesihatan. Apa kata mereka yang arif ini?

Para pakar kesihatan sudah sebut kepada kita bahawa aktiviti rentas negeri masih tidak boleh dibenarkan jika berpandukan kepada jumlah kes harian sekarang ini.

Jadi kita kena akur kata pakar. Memang tidak boleh rentas negeri dan tidak boleh beraya di kampung. Yang menasihati kita dalam hal ini adalah pakar. Sudah tentu mereka jauh lebih berpengetahuan berbanding kita.

Cuba kita pandang negara jiran Indonesia. Sejak awal-awal lagi mereka ingatkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri dan tiada siapa boleh balik kampung.

Namun di Malaysia ini pula nampaknya para pemimpin negara masih cuba berbincang untuk izinkan rentas negeri bagi kita menyambut hari raya di kampung.

Sebagai rakyat yang waras dan tak bersandarkan emosi, dimana paling utama bagi kita sekarang? Adakah tentang kesihatan diri dan nyawa atau makan ketupat rendang di kampung halaman?

Kita kena ingat, orang yang sudah pulih dari Covid pun sebenarnya masih terpaksa tanggung kesan-kesan berlanjutan seperti sesak nafas, sakit dada dan sebagainya.

Ada dikalangan mereka yang terpaksa ambil ubat secara berterusan kerana berhadapan dengan kesan sampingan lain. Jadi, jangan rasa jika kita berjaya diselamatkan dari virus Covid dan tidak meninggal dunia maka kita sudah sihat sepenuhnya.

Justeru virus Covid ini tetap bahaya walau ketika musim raya atau di bulan puasa. Sebab itu kita perlu ada formula untuk halang ia menjangkiti.

Formula sebenarnya sudah ada di tangan masing-masing, kalaupun masih ingin nak balik kampung masa hari raya nanti, iaitu tunggu kes turun dan mendatar. Sebaiknya kes harian di bawah 100, bukannya di bawah 1,000 kes sehari.

Untuk menurunkan kes ini, maka semua pihak kena berperanan. Jaga kebersihan diri, pakai pelitup hidung dan mulut, jaga penjarakan fizikal, jangan bersentuhan dan bermacam lagi.

Jadi kita masih ada masa lebih kurang sebulan setengah lagi untuk guna nasihat-nasihat saintifik ini untuk kita amalkan bersama, sekali gus menurunkan jumlah kes harian.

Apabila kes mula menurun dan mendatar, maka bolehlah para pemimpin politik dan pakar-pakar kesihatan boleh cadangkan untuk aktiviti balik kampung dan rentas negeri.

Jika masing-masing boleh amalkan, maka ia jadi suatu budaya yang berpanjangan. Sebabnya, walaupun sudah ada vaksin, penyakit tetap ada disekeliling kita.

Bezanya cuma badan yang dicucuk vaksin jadi lebih tahan untuk melawan virus berbanding yang tidak dicucuk.

Jika mahu balik raya di kampung dan rentas negeri, maka jawapan dan tindakannya ada pada diri kita masing-masing.

 

Dr Muhammad Kelantani
Bandar Baru Bangi

Berita Berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Advertisment

Terkini