KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bersetuju untuk hadir bagi merasmikan Konvensyen RESET yang dijadualkan berlangsung di Kelantan, esok.
Kehadiran beliau adalah bagi memenuhi undangan yang dikemukakan oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, PAS dijangka menerima penyertaan lebih 10 tokoh penting daripada pelbagai latar belakang profesional, korporat, dan sektor pentadbiran pada satu program ceramah perdana di Negeri Sembilan, tidak lama lagi.
Majlis penyerahan borang keahlian baharu itu akan diadakan di Dewan Syeikh Mohd Said, Kompleks Islam Islam Tuanku Muhriz (DSTITM).
Dalam pada itu, perkembangan parti Islam berkenaan terus memperlihatkan momentum positif menerusi pelaksanaan mesyuarat agung tahunan PAS di peringkat kawasan yang sedang rancak berlangsung di seluruh negara ketika ini.
Pertumbuhan parti itu turut disokong oleh peningkatan jumlah ahli dan pembukaan cawangan-cawangan baharu, selain pertambahan institusi pendidikan di bawah seliaannya termasuk Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), di samping aktiviti kebajikan yang dilaksanakan secara berterusan.










