Guan Eng Pertikai Peruntukan Tebatan Banjir Kerajaan Negeri, Minta Seimbang Dalam Bajet 2027

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa untuk memberikan peruntukan yang lebih seimbang kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) blok kerajaan dalam Belanjawan 2027 berbanding kawasan pembangkang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, ini berikutan wujud jurang perbezaan yang ketara dalam pengagihan peruntukan bagi rancangan tebatan banjir dan pengurusan air mengikut data jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, merujuk sebagai contoh kawasan DUN Seberang Jaya di bawah pembangkang yang menerima keseluruhan peruntukan sebanyak RM10.5 juta, merangkumi RM9.58 juta daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi penyelenggaraan tebatan banjir dan perparitan.

Sebaliknya, kawasan DUN di bawah parlimennya iaitu Sungai Puyu, Bagan Jermal dan Bagan Dalam masing-masing hanya menerima peruntukan RM424,000 daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Selain itu, DUN Sungai Dua yang menerima RM464,000 dan DUN Pinang Tunggal yang menerima RM519,000 juga mendapat peruntukan yang lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan DUN di bawah Parlimen Bagan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa walaupun pentadbiran kerajaan negeri wajar bersikap adil tanpa mengira fahaman politik, namun tindakan memberikan peruntukan yang lebih sedikit kepada kawasan DUN kerajaan berbanding pembangkang adalah sukar untuk difahami.

“Memandangkan pengundi telah menyokong kita untuk menjadi kerajaan, tiada sebab untuk kerajaan seolah-olah memberikan lebih perhatian kepada pihak pembangkang kerana ia sukar dijelaskan kepada pengundi.

“Oleh itu, diharapkan kerajaan negeri dapat membuat penyesuaian yang wajar dalam belanjawan tahun depan dengan memberikan sedikit tambahan peruntukan kepada kawasan DUN kerajaan,” katanya.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam Kumaran Krishnan dan Senator Lingeshwaran R. Arunasalam.

BBerkaitan

Latest articles