KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selamat menjalani rawatan dan kini baginda sedang beristirahat.
Istana Terengganu dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa rawatan baginda berjalan lancar dengan kehendak dan rahmat Allah SWT serta berkat doa seluruh rakyat.
”Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menzahirkan ucapan penghargaan dan perasaan terharu serta menzahirkan ucapan terima kasih Baginda serta keluarga kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan Baginda.
”Ini termasuk masjid-masjid, surau-surau, institusi tahfiz, para alim ulama, pemimpin masyarakat, badan-badan organisasi, individu serta seluruh lapisan rakyat yang telah melaksanakan solat hajat serta bacaan Yasin untuk Baginda,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut mendoakan agar Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik dan berpanjangan kepada Sultan Mizan serta mempermudahkan segala urusan Baginda.










