BN Melaka: Jika Nga Mahu Letak Jawatan, Itu Hak Beliau

MELAKA: Barisan Nasional (BN) Melaka menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan terhadap hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, untuk meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan sama ada mahu melepaskan jawatan adalah hak peribadi Kor Ming dan bukan sesuatu yang perlu diperdebatkan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, tiada sesiapa yang mengarahkan mahupun menghalang Timbalan Pengerusi DAP itu daripada berbuat demikian.

“Sebenarnya saya tak nak komen, tetapi apabila dia sendiri menyatakan mahu letak jawatan, siapa yang hendak menghalang? Kalau itu keputusan dia, letaklah.

“Tiada siapa suruh dan tiada siapa halang. Itu hak dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Ex-Undi PRN Ke-16 Negeri Melaka Tahun 2026 (Simulasi Ketenteraman Awam) di Tanjung Bidara, pada Selasa.

Sebelum ini, dalam satu temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Kor Ming dilaporkan berkata beliau akan menjadi individu pertama melepaskan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang sabitan.

Kor Ming turut mendakwa DAP tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan jika keadaan itu berlaku kerana ia disifatkan sebagai ‘garis merah’ parti berkenaan.

Beliau juga mendakwa UMNO Johor berulang kali mengangkat naratif pembebasan awal Najib, termasuk melalui slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah”, yang menurutnya menjadi antara agenda parti itu sepanjang kempen PRN Johor.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan isu pembentukan kerajaan negeri tidak sepatutnya dikaitkan dengan kedudukan Kerajaan Persekutuan atau persoalan mengenai pembebasan Najib.

Beliau berkata, BN tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Kor Ming memilih untuk meletakkan jawatan kerana keputusan tersebut merupakan hak individu dan tidak menjejaskan pendirian gabungan itu.

BBerkaitan

Latest articles