BN Mampu Cipta ‘Game Changer’, Dakwa Rakyat Kini Rindu Pentadbiran Barisan

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) bertekad mencipta ‘game changer’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan sasaran menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mampu membentuk kerajaan baharu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau percaya sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat dan mendakwa ramai yang mengharapkan gabungan itu kembali menerajui pentadbiran negeri.

Menurutnya, sentimen tersebut perlu diterjemahkan kepada kemenangan melalui gerak kerja yang tersusun serta komitmen tinggi daripada seluruh jentera parti.

“Wahai jentera BN, rakyat sedang rindu kepada Barisan Nasional untuk kembali memerintah. Rakyat terlalu rindu kepada Barisan Nasional.

“Kita balas kerinduan itu dengan bekerja keras, memberikan harapan kepada mereka dan menunaikan segala janji yang terkandung dalam manifesto,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Sembilan di Stadium Paroi, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, BN tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian lalu yang menyaksikan gabungan itu memenangi 14 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

Sebaliknya, beliau mahu seluruh jentera bekerja lebih agresif bagi mencetuskan perubahan besar yang mampu meningkatkan jumlah kerusi dimenangi sekali gus membolehkan BN membentuk kerajaan negeri.

“Saya yakin kita mampu mencipta ‘game changer’ yang baharu. Dengan semangat Gelombang Biru ini, insya-Allah kita dapat menambah lebih banyak kerusi sehingga memperoleh majoriti dan membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru semua peringkat kepimpinan dan jentera BN supaya segera memperkukuh perpaduan, merapatkan saf serta menggandakan gerak kerja di setiap kawasan tanpa menunggu hari penamaan calon.

Beliau menegaskan kemenangan hanya mampu dicapai sekiranya seluruh jentera turun padang lebih awal, mendekati rakyat dan bekerja secara berterusan bagi meyakinkan pengundi bahawa BN mempunyai keupayaan untuk membawa pentadbiran yang lebih stabil dan berkesan di Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles