SENDAYAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang menggariskan 88 ikhtiar berpandukan sembilan teras utama, dengan fokus kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto bertemakan “Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela dan Kemakmuran Dicipta” itu disusun berdasarkan pengalaman pentadbiran serta rekod pencapaian BN sepanjang menerajui negeri sebelum ini.
Menurut beliau, tawaran tersebut bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya pelan tindakan yang realistik, boleh dilaksanakan dan dirangka bagi menjamin masa depan Negeri Sembilan.
“Pilihan raya ini adalah soal masa depan. Rakyat perlu memilih pihak yang benar-benar mempunyai pengalaman, keupayaan dan rekod untuk mentadbir. Kita bertanding bukan untuk bereksperimen atau merobohkan apa yang ada, tetapi untuk meneruskan serta memperkukuh pembangunan negeri,” katanya ketika melancarkan manifesto BN di Sendayan, malam tadi.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO berkata, kesemua 88 ikhtiar itu turut diperkasakan menerusi 15 inisiatif di bawah Skim Salam Sejahtera, selain cadangan penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto bagi memastikan setiap komitmen yang dijanjikan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.
Antara tawaran utama ialah sasaran menarik pelaburan baharu sekurang-kurangnya RM30 bilion dan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan menerusi pemerkasaan projek Malaysia Vision Valley (MVV) serta pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam aspek kebajikan pula, BN berjanji memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko, penyediaan perkhidmatan ambulans di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), selain bantuan khusus kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan pekerja gig.
Manifesto itu turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dengan usaha mengembalikan Negeri Sembilan sebagai “Lembah Ilmu” menerusi bantuan pendidikan kepada keluarga B40, latihan kemahiran digital serta meneruskan pengecualian bayaran lesen penjaja.
Bagi sektor pertanian dan luar bandar, BN menawarkan penubuhan koperasi pertanian di setiap DUN, penstrukturan semula projek Beef Valley serta memperkukuh pembangunan komuniti FELDA.
Dalam sektor perumahan, gabungan itu berjanji membina 20,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi, selain memberi jaminan tiada kenaikan cukai pintu sepanjang tempoh lima tahun.
Manifesto tersebut turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam, memperkasa golongan belia serta wanita, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara mampan dengan memelihara kelestarian alam sekitar.
“Kita mahu memastikan setiap ikhtiar yang dirancang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa ada yang tercicir,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi memberikan mandat kepada BN pada PRN 1 Ogos depan bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan yang stabil serta meneruskan agenda pembangunan dan kemakmuran negeri.










