ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) Johor memberi jaminan mutlak tidak akan sesekali menjalinkan kerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan negeri sekiranya gabungan itu kembali diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, senario politik serta realiti di peringkat Persekutuan dan negeri adalah berbeza, malah BN Johor mempunyai prinsip tersendiri dalam isu berkenaan.
Malah, beliau secara terbuka menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sekiranya dipaksa untuk bekerjasama dengan parti berkenaan.
”Jika kita diberikan mandat untuk memimpin sekali lagi dengan perkenan Ke bawah Duli Tuanku Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor,
kita tidak akan sekali-sekali bersama dengan DAP dalam kerajaan Bangsa Johor.
”Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada duduk semeja dengan mereka. Ini semangat Johor kita. Setahu saya, BN Johor tidak pernah duduk dengan DAP Johor dari atas sampai ke bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.
Majlis pelancaran yang menyaksikan stadium bertukar menjadi ‘lautan biru’ itu turut dihadiri Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan tertinggi parti komponen.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz menyelar tindakan pihak lawan yang sengaja memainkan naratif fitnah di media sosial kononnya satu undi untuk BN adalah bersamaan dengan satu undi untuk DAP.
Jelas beliau, keputusan BN Johor untuk bergerak secara solo dan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah keputusan rasmi parti yang telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan tertinggi.
”Saya diminta oleh pucuk pimpinan terutamanya Presiden (Ahmad Zahid) untuk mendapatkan maklum balas dan mendengar keluhan jentera. Hasilnya, hampir kesemua 26 bahagian termasuk parti komponen menyatakan Johor perlu bertanding solo.
”Apabila maklum balas ini diserahkan, Presiden sendiri yang memberikan kebenaran untuk kita mengumumkan bertanding di kesemua 56 kerusi. Jadi, naratif yang mereka jaja itu adalah fitnah semata-mata,” katanya lagi.
Beliau turut sempat menitipkan pesanan sinis kepada pihak lawan dengan mengingatkan rakyat mengenai sejarah pentadbiran negeri sebelum ini.
”Yang saya ingat, pihak yang pernah duduk memimpin semeja di Johor ini ialah semasa Bersatu menjadi Menteri Besar di Johor dahulu. Tolong ingatkan mereka tentang perkara ini,” ujarnya.










