SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) berikrar melaksanakan sepenuhnya segala tawaran yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan selepas pengundian Sabtu ini.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, bagi memastikan setiap janji kepada rakyat ditunaikan, BN akan menubuhkan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto sebaik sahaja kerajaan negeri baharu dibentuk.
Menurutnya, unit khas itu akan memantau kemajuan pelaksanaan setiap inisiatif menerusi laporan berkala yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
“Penubuhan unit ini membuktikan BN tidak menganggap pilihan raya sekadar medan meraih kuasa dengan menabur janji yang tidak mampu ditunaikan.
“Apabila sesuatu janji dimasukkan dalam manifesto, ia perlu direalisasikan sepenuhnya supaya rakyat benar-benar menikmati manfaat yang dijanjikan sepanjang tempoh pentadbiran,” katanya pada program podcast Bicara PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, BN tidak akan menawarkan janji yang bersifat populis atau tidak realistik seperti bantuan tunai dalam jumlah besar atau pemberian minyak percuma, sebaliknya setiap tawaran dirangka berdasarkan kemampuan kewangan sebenar kerajaan negeri.
Jalaluddin berkata, kerajaan negeri dianggarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun bagi membiayai pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan yang digariskan dalam manifesto berkenaan.
Bagaimanapun, beliau yakin peruntukan itu mampu disediakan menerusi usaha meningkatkan hasil negeri sebelum disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program bantuan.
Antara tawaran utama yang diketengahkan ialah bantuan RM200 kepada warga emas berusia 65 tahun ke atas, insentif RM200 bagi simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk setiap kelahiran baharu, selain bantuan pengurusan jenazah dan pesakit kronik.
Dalam usaha meringankan kos pendidikan, BN turut menjanjikan bantuan pendaftaran pengajian tinggi sebanyak RM1,000 bagi pelajar ijazah, RM750 untuk diploma dan RM500 bagi peringkat sijil, termasuk bantuan kemasukan ke sekolah berasrama penuh.
Golongan belia juga tidak diketepikan apabila BN menawarkan bantuan RM1,000 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan pertama sebagai sokongan untuk memulakan kehidupan berkeluarga.
Menurut Jalaluddin, keseluruhan manifesto itu dirangka sebagai pelan pembangunan lima tahun yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan, pembangunan belia serta pemeliharaan warisan dan adat Negeri Sembilan secara menyeluruh.










