BN Janji Henti Roboh Gerai, Lesen Penjaja Percuma Selama Lima Tahun

SENDAYAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berjanji menghentikan tindakan merobohkan gerai penjaja secara sewenang-wenangnya, selain menawarkan pengecualian bayaran lesen penjaja selama lima tahun sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif itu bertujuan membantu penjaja dan peniaga kecil meningkatkan pendapatan dalam suasana perniagaan yang lebih tersusun, selamat dan kondusif.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memudah cara golongan peniaga kecil mencari rezeki, bukannya membebankan mereka dengan tindakan penguatkuasaan yang tidak berhemah.

“Kita mahu bantu rakyat mencari rezeki. Sebab itu kita tawarkan pengecualian lesen penjaja selama lima tahun dan hentikan budaya merobohkan gerai peniaga kecil.

“Apa yang penting ialah membantu mereka mendapatkan lesen, memastikan kawasan perniagaan bersih dan membolehkan mereka berniaga dengan tenang untuk menyara keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Negeri Sembilan di Sendayan, malam tadi.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, komitmen itu merupakan sebahagian daripada manifesto bertemakan “Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela dan Kemakmuran Dicipta”, yang turut memberi penekanan kepada pembangunan sektor pertanian, agromakanan, luar bandar dan komuniti FELDA.

Beliau berkata, BN berhasrat memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negeri menerusi pembangunan kawasan pengeluaran makanan kekal di setiap daerah, selain menghidupkan semula projek Beef Valley yang disifatkan mempunyai potensi besar.

Selain itu, katanya, BN turut mencadangkan pelaksanaan inisiatif ‘Satu DUN, Satu Koperasi Pertanian’ serta penubuhan Tabung Warisan Nelayan bagi memperkukuh industri agromakanan dan menjamin kebajikan komuniti nelayan.

“Pada masa sama, masyarakat FELDA dan penduduk luar bandar akan terus diperkasakan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan,” katanya.

Tawaran berkenaan merupakan sebahagian daripada 88 ikhtiar yang digariskan BN menerusi sembilan teras utama manifesto bagi merancakkan ekonomi negeri, memperkukuh kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan yang lebih inklusif.

BBerkaitan

Latest articles