AYER KEROH: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diperingatkan agar tidak hanya berteduh di sebalik populariti dan aura Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya mula membina asas organisasi yang kukuh demi kelangsungan parti pada masa depan.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan, kelangsungan PKR selepas era Anwar bergantung sepenuhnya kepada kekuatan idealisme, budaya berorganisasi, serta keupayaan melahirkan barisan pelapis kepimpinan yang berani dan berintegriti.
Menurut beliau, kesetiaan ahli tidak seharusnya bersifat taksub kepada sosok tubuh individu semata-mata, tetapi perlu diikat dengan prinsip dan asas perjuangan parti.
”Kita sayang Presiden, kita mahu kerajaan pimpinan beliau berjaya dan kita pertahankan beliau jika difitnah.
“Namun jika benar-benar sayangkan parti, kita perlu melihat ke hadapan, bagaimana PKR mahu kekal relevan dan kuat apabila sampai masanya nanti.
”Presiden sendiri tidak mahu dikelilingi pemimpin yang hanya pandai mengangguk atau menyebut ‘YES’. Kita perlukan kepimpinan pelapis yang berani menegur dengan fakta dan adab demi memastikan parti ini tidak ranap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Ahad.
Dr Zaliha turut mengingatkan bahawa persediaan menghadapi masa depan parti tidak akan tercapai sekiranya wujud puak-puak yang merosakkan perpaduan dari dalam.
”Jangan ada ‘parti dalam parti’ dan kita tidak mahu ada ‘Si Kitol’ dalam PKR.
“Perbezan pandangan itu biasa, tetapi jangan sampai memecahbelahkan perjuangan yang kita bina bersama,” tegas beliau.
Mengulas isu idealisme, beliau menjelaskan bahawa reformasi yang diperjuangkan sejak 27 tahun lalu perlu terus dihidupkan sebagai sistem pentadbiran yang mampan, bukannya bergantung kepada seorang tokoh sahaja.
“Hari ini apabila menjadi kerajaan, tanggungjawab kita adalah menterjemahkan reformasi menerusi pengukuhan institusi, membanteras rasuah dan memastikan keadilan sampai kepada rakyat.
“Ini adalah asas yang bakal menjamin masa depan parti dan negara,” katanya.










