KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) tidak terkejut dengan desas-desus bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang mencari rakan gabungan baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkembangan itu bukan perkara baharu kerana pihaknya sudah mengetahui mengenai usaha berkenaan secara langsung mahupun tidak langsung.
Menurutnya, pendirian BERSATU yang mahu bergerak bersama pihak lain juga semakin jelas selepas pimpinan parti itu sebelum ini menyatakan hubungan mereka dengan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Ini bukan benda baharu, kita ada dengar secara langsung dan tidak langsung. Apabila Setiausaha Agung BERSATU dalam Persidangan DUN mengatakan parti mereka dan kerajaan negeri Selangor akan menjadi teman mereka, dari segi politik itu adalah jelas.
“Kalau berlaku pun tidak memeranjatkan kerana dalam PRN Negeri Sembilan pun mereka menggunakan logo parti sendiri dan meletakkan calon menentang calon PN.
“Secara teknikal mereka tidak berhasrat untuk berada PN. Amat pelik sekiranya PRN akan datang mereka mahu menggunakan logo PN,” katanya ketika ditemui di sini.
Takiyuddin berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa BERSATU kini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa parti bagi membentuk kerjasama politik menghadapi PRN Melaka.
Media sebelum ini melaporkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak mahu bertanding secara bersendirian pada PRN berkenaan dan sedang mencari rakan gabungan yang sesuai.
Usaha tersebut dikatakan sudah memasuki peringkat rundingan dengan beberapa parti bagi menentukan bentuk kerjasama yang boleh dibentuk menjelang PRN Melaka.
Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju hubungan BERSATU dengan PN, khususnya selepas parti berkenaan memilih untuk menggunakan logo sendiri dan bertanding menentang calon PN pada PRN Negeri Sembilan sebelum ini.










