KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebaliknya memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapan menghadapi PRN Melaka yang dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Presiden Bersama, Syukri Razab, bersama dua pemimpin parti, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut mereka, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kekangan dari segi masa dan sumber parti, selain situasi semasa di Negeri Sembilan yang turut dipengaruhi isu lain termasuk konflik berkaitan institusi Yang di-Pertuan Besar.
“Bersama berpandangan adalah lebih strategik untuk mengalihkan fokus kepada PRN Melaka yang bakal diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, parti berkenaan memaklumkan persediaan awal bagi menghadapi PRN Melaka akan bermula pada 21 Julai ini.
Proses itu merangkumi usaha mengenal pasti kerusi yang berpotensi untuk ditandingi serta memulakan tapisan calon sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
Pada PRN Johor sebelum ini, Bersama bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun gagal memenangi sebarang kerusi dengan kesemua calon turut hilang wang deposit.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.










