Belanjawan 2027 Tiada Wawasan Masa Depan – Hamzah

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Belanjawan 2027 yang dibentangkan kerajaan tidak mempunyai wawasan jelas untuk memastikan generasi akan datang mendapat manfaat daripada perancangan pembangunan negara.

Beliau berkata, belanjawan itu dilihat tidak memandang jauh ke hadapan bagi menentukan hala tuju pembangunan negara, meskipun kerajaan sudah membentangkan belanjawan sebanyak lima kali sepanjang tempoh pentadbirannya.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan pendekatan pemimpin terdahulu yang memperkenalkan dasar pembangunan jangka panjang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara dapat dinikmati rakyat.

“Belanjawan itu sendiri tidak mempunyai wawasan. Ia tidak memandang jauh ke hadapan untuk menentukan bahawa generasi masa depan benar-benar mendapat manfaat daripada wawasan yang diketengahkan oleh pemimpin negara sendiri.

“Kalau sudah empat tahun setengah dan membentangkan belanjawan lima kali, langsung tidak menunjukkan bahawa ada wawasan untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Parlimen, pada Khamis.

Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara berkata, antara pendekatan pembangunan jangka panjang yang pernah dilaksanakan pemimpin terdahulu termasuk pembukaan kawasan baharu ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein, dasar perindustrian ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad serta pembangunan koridor ekonomi wilayah semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara mampan serta memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak pembangkang mengemukakan pelbagai cadangan dalam perbahasan belanjawan bagi memastikan perbelanjaan kerajaan turut memberikan pulangan kepada generasi akan datang.

“Kami fokus kepada sesuatu yang boleh mewujudkan pertumbuhan mampan untuk kepentingan negara secara keseluruhan.

“Yang penting ialah memastikan perancangan masa depan negara dinilai semula supaya generasi akan datang dapat menerima manfaat daripada apa yang kita lakukan pada hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah turut membangkitkan isu perbelanjaan pembangunan yang menurutnya masih belum mencapai sasaran RM90 bilion setahun seperti yang dijanjikan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Beliau mendakwa peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi dua tahun berturut-turut masih berada di bawah paras RM90 bilion, sebaliknya hanya sekitar RM80 bilion lebih setahun.

Katanya, komitmen berkenaan perlu ditunaikan bagi memastikan pembangunan negara dapat dirancang dengan lebih berkesan untuk jangka panjang.

Mengulas isu gaji minimum, Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menolak cadangan kenaikan gaji, sebaliknya meminta kerajaan meneliti kesannya terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, kerajaan perlu menyediakan inisiatif bersesuaian bagi membantu syarikat berkenaan menampung kos penggajian supaya tidak berdepan kekurangan pekerja.

“Jika pekerja memilih syarikat yang melaksanakan gaji minimum lebih tinggi, akhirnya syarikat lain mungkin menghadapi masalah mendapatkan pekerja yang mencukupi dan produktiviti negara boleh menurun.

“Saya minta kerajaan menilai bagaimana hendak membantu kumpulan seperti itu, bukannya saya tidak bersetuju dengan kenaikan gaji,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut menggesa semua pihak menghormati titah Majlis Raja-Raja dan tidak mencampuri urusan yang berkaitan dengannya.

Beliau berkata, semua pihak, termasuk pemimpin tertinggi negara, perlu mengambil maklum serta menghormati titah berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles