KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes disyaki merogol teman wanitanya yang berusia 15 tahun di sebuah pasar di daerah ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Yusnaliza Mohammad Yusoff di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Suspek ditahan polis kira-kira jam 11.30 pagi semalam selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada ibu mangsa.
Ibu remaja perempuan itu membuat laporan selepas dimaklumkan seorang pengawal keselamatan di pasar berkenaan yang mendakwa melihat anaknya dalam keadaan separuh bogel bersama seorang remaja lelaki di lokasi terbabit.
Mangsa kemudian memberitahu ibunya bahawa dia dirogol oleh remaja berkenaan, yang dikenalinya sebagai teman lelaki sendiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.










