BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekelasnya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, pada 3 Oktober lalu.
Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh mangsa di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng, antara jam 2.30 petang hingga 4 petang pada tarikh berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan forensik patologi.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Irene Sofiya sebelum ini ditemukan terbaring di dewan sekolah dengan kesan darah kering dan lebam pada tubuhnya.
Polis turut merampas sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Pukulan dipercayai mengenai kepala mangsa, selain meninggalkan kesan pada badan, tangan dan anggota tubuh lain.










