Nahas Helikopter Di Sarawak: Laporan Awal Dibentang Kepada Kabinet Esok

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri akan menerima laporan awal siasatan nahas helikopter MBB Bo 105 yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Sarawak, esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) itu akan menjelaskan keadaan yang membawa kepada kejadian pada 8 September lalu, namun siasatan menyeluruh masih berjalan dan laporan akhir perlu disiapkan dalam tempoh setahun.

Beliau memaklumkan, juruterbang helikopter berkenaan mempunyai lesen, kelayakan penerbangan dan sijil perubatan yang sah.

Pesawat kendalian Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu juga memiliki dokumen pendaftaran serta kelayakan terbang yang sah ketika berlepas.

Sementara itu, audit penyelenggaraan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) terhadap syarikat berkenaan merekodkan tiga penemuan dan tiga pemerhatian.

Hanya satu penemuan berkaitan pengiraan tenaga kerja penyelenggaraan masih menunggu pengesahan akhir ketika nahas berlaku.

Bagaimanapun, Anthony menegaskan isu itu membabitkan aspek organisasi dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan keadaan teknikal helikopter yang terhempas.

CAAM turut memeriksa helikopter BO-105 lain serta pesawat yang menggunakan enjin sama susulan kejadian itu.

Pemeriksaan mendapati pematuhan terhadap jadual penyelenggaraan dan arahan kelayakan terbang berada pada tahap memuaskan.

Nahas berkenaan mengorbankan seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan.

BBerkaitan

Latest articles