Bekas Menteri Dibawa Ke Mahkamah, Direman Bantu Siasatan RCI Tabung Haji

PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 10.25 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM, lengkap berpakaian lokap berwarna jingga dan tangan bergari.

Beliau kemudian dibawa masuk ke kompleks mahkamah dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam, SPRM menerusi akaun TikTok rasminya memaklumkan penahanan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga bekas ahli Parlimen di utara tanah air.

Lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 4.30 petang ketika hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Penahanan itu dipercayai berkaitan siasatan terhadap isu pajakan hotel oleh TH di Arab Saudi, susulan pendedahan RCI berhubung pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan.

Pada Khamis lalu, seorang ahli politik yang juga bekas Pengerusi TH serta seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan turut ditahan reman oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan berkaitan isu sama.

Kedua-dua mereka ditahan selepas seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH terlebih dahulu direman bagi membantu siasatan SPRM.

Terdahulu, SPRM dilaporkan telah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung laporan RCI TH.

Mereka terdiri daripada seorang bekas CEO syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pegawai pengurusan kanan TH.

Siasatan SPRM itu dipercayai memberi tumpuan kepada beberapa isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI, termasuk urusan pajakan hotel TH di Arab Saudi.

BBerkaitan

Latest articles