Bayi Dua Tahun Maut Ditinggal Tujuh Jam Dalam Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang ibu ‘berputih mata’ apabila anak perempuannya berusia dua tahun ditemui maut selepas terlupa mangsa ditinggalkan kira-kira tujuh jam dalam kereta di Ara Damansar, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, ibu mangsa terlupa menurunkan anaknya di tadika apabila menyelesaikan urusan perniagaan dalam taliannya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri di rumah pada pukul 3.49 petang semalam.

Pemeriksaan mendapati ibu mangsa menghantar dua anaknya ke sekolah berdekatan pukul 7 pagi sebelum menghantar mangsa ke tadika.

Bagaimanapun sebaik sahaja sampai di tadika, ibu mangsa menyelesaikan urusan perniagaan dalam taliannya sehingga terlupa menurunkan mangsa di tadika.

Ibu mangsa kemudian pulang ke rumah dan hanya menyedari keadaan anaknya di dalam kereta pukul 3.55 petang dan didapati tidak sedarkan diri.

Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

BBerkaitan

Latest articles