BAP Naik RM200 Setiap Murid Pada 2027, 5.3 Juta Pelajar Bakal Terima Manfaat

KUALA LUMPUR: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan kepada RM200 bagi setiap murid pada 2027, berbanding RM150 ketika ini, dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion bagi membantu keluarga membuat persiapan persekolahan anak-anak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada 5.3 juta murid di seluruh negara, sekali gus meringankan perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keluarga yang mempunyai empat anak bersekolah akan menerima bantuan berjumlah RM800 menerusi inisiatif berkenaan.

Menurutnya, BAP akan disalurkan di sekolah bagi membuka ruang kepada ibu bapa untuk hadir dan berinteraksi dengan guru, sekali gus memperkukuh kerjasama antara keluarga dan pihak sekolah dalam meningkatkan prestasi akademik serta membentuk sahsiah murid.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar berjumlah hampir RM69 bilion, meningkat berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini.

Kerajaan turut memperkukuh usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif apabila peruntukan bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan semua jenis sekolah digandakan kepada RM2 bilion daripada RM1 bilion sebelum ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM900 juta disediakan untuk sekolah kebangsaan, RM100 juta bagi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Sebanyak RM200 juta turut diperuntukkan kepada sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dengan skop bantuan diperluas bagi menampung kos operasi institusi berkenaan.

Pada masa sama, hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan murid di kawasan berkenaan dapat menikmati kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Kerajaan juga memperuntukkan RM870 juta untuk pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid.

Bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru, pengambilan Pembantu Guru pula akan diperluas ke 200 sekolah rendah yang mempunyai kepadatan murid tinggi.

Pelaksanaannya akan ditambah secara berperingkat berdasarkan penilaian terhadap keberkesanan program itu, sekali gus membolehkan guru memberi lebih tumpuan kepada tugas pengajaran dan pembelajaran.

BBerkaitan

Latest articles