KUALA LUMPUR: Bangladesh memohon bantuan Malaysia bagi menangani krisis bekalan gas asli cecair (LNG) yang sedang dihadapi negara itu, termasuk menerusi potensi kerjasama dengan PETRONAS untuk memenuhi keperluan tenaga yang semakin mendesak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata permintaan itu disampaikan oleh rakan sejawatnya dari Bangladesh, Tarique Rahman, ketika perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perbincangan tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Bangladesh, khususnya dalam sektor tenaga serta pelaburan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Selain isu bekalan LNG, beliau berkata kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai kerjasama ekonomi, termasuk perkembangan pelaburan melibatkan Axiata serta potensi kerjasama strategik bersama MMC Port.
Menurutnya, inisiatif berkenaan diyakini mampu mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Bangladesh, di samping membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan pada masa hadapan.
Anwar turut menegaskan Malaysia akan terus komited mempererat hubungan persahabatan yang telah lama terjalin dengan Bangladesh berasaskan semangat saling menghormati, kerjasama pragmatik dan iltizam bersama untuk membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Bangladesh berdepan krisis bekalan gas yang semakin meruncing susulan konflik di Asia Barat, selain keadaan menjadi lebih buruk selepas berlaku kemalangan di sebuah kemudahan industri yang menjejaskan bekalan tenaga negara itu.










