Baling Kipas Pada Isteri Kerana Lambat Buat Susu Anak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggunakan kipas, Ahad lalu.

Pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Mengikut pertuduhan, Shahmoonzhir Mohd Nazim, 32, didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan kepada Nor Asikin Mohd Tap, 30, di sebuah rumah beralamat di Batu 6, Solok Balik Bukit, Bukit Lintang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 12 tengah malam 1 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama.

Dalam kejadian awal minggu lalu, Shahmoonzhir bertindak dengan cara membaling kipas terhadap isterinya kerana marah apabila lambat menyediakan susu untuk anak mereka yang berusia tujuh bulan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan dilarang mengganggu isterinya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana masih menanggung anak yang masih kecil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Nabilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 8 November ini untuk serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles