SEREMBAN: Presiden Parti Wawasan Negara (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan budaya melemparkan kata-kata kesat dan penghinaan terhadap rakyat datang daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mendakwa ia berpunca daripada pihak lawan.
Berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban malam tadi, Hamzah berkata penggunaan bahasa seperti “bangang”, “bodoh” dan “mampus” tidak mencerminkan pendekatan politik yang dibawa oleh ‘Pasukan Biru’.
Beliau mendakwa tuduhan serta serangan sedemikian lebih menggambarkan sikap pihak lawan yang dilabelnya sebagai ‘Pasukan Merah’.
“Lawan kata kita guna ayat bukan-bukan… ayat bangang, ayat mampus, ayat bodoh. Itu bukan ayat pasukan biru, itu ayat pasukan merah. Pasukan biru takkan guna ayat itu,” katanya.
Hamzah berkata, PN sebaliknya membawa pendekatan politik yang berteraskan penyatuan, keadilan dan pentadbiran yang lebih baik untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, kekuatan gabungan itu dibentuk bagi menawarkan alternatif pentadbiran yang lebih mantap kepada rakyat Negeri Sembilan.
Beliau turut menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan atau naratif yang menurutnya cuba menimbulkan kebimbangan terhadap PN, sebaliknya menilai calon yang ditampilkan berdasarkan kemampuan serta pengalaman.
PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 1 Ogos ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi memilih kerajaan negeri baharu.










