Asyraf Tolak Dakwaan Krisis Dalaman Berhubung Kelewatan Umum Calon BN Johor

JOHOR BAHRU: Penangguhan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selama kira-kira satu setengah jam semalam adalah disebabkan urusan pengesahan dan pematuhan syarat pencalonan yang belum selesai sepenuhnya, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau menjelaskan, kelewatan itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang isu pertukaran calon atau perbincangan saat akhir seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Menurutnya, setiap individu yang dipilih mewakili BN perlu melengkapkan beberapa proses penting sebelum nama mereka boleh diumumkan secara rasmi kepada umum.

Antara prosedur yang diwajibkan termasuk lafaz baiah sebagai komitmen untuk terus setia kepada parti serta aku janji tidak berpaling tadah sekiranya berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.

Selain itu, semua calon turut melalui proses saringan yang ketat bagi memastikan mereka memenuhi kriteria integriti dan kelayakan yang ditetapkan oleh parti.

“Semakan dibuat terhadap pelbagai perkara termasuk status muflis, rekod jenayah, pematuhan cukai dengan LHDN, rekod SPRM serta maklumat berkaitan Jabatan Agama Islam bagi memastikan calon bebas daripada isu yang boleh menjejaskan kredibiliti mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Asyraf turut berkongsi beberapa gambar yang memaparkan calon-calon BN menjalani proses dokumentasi dan pengesahan sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, kesemua calon juga perlu menandatangani dokumen perundangan tertentu di hadapan peguam dan Pesuruhjaya Sumpah sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan parti.

Proses berkenaan yang bermula sekitar jam 10.30 pagi pada awalnya dijangka selesai menjelang tengah hari, namun mengambil masa lebih panjang berikutan jumlah calon yang terlibat mencecah 56 orang.

Susulan itu, beliau memohon maaf kepada petugas media, jentera pilihan raya serta penyokong BN yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum senarai calon diumumkan.

Dalam masa sama, beliau mendoakan agar semua calon yang diberi mandat untuk bertanding dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan memperoleh sokongan rakyat pada PRN Johor kali ini.

BBerkaitan

Latest articles