ASEAN Gesa AS Redakan Ketegangan Asia Barat, Hormati Dasar Negara Anggota

MANILA: ASEAN menggesa Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan lebih proaktif dalam meredakan konflik geopolitik di Asia Barat bagi mengembalikan kestabilan serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi global.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dibangkitkan kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio ketika Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri (PMC) ASEAN-AS yang berlangsung sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-59 dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.

Menurut beliau, ASEAN turut menggesa Washington meneruskan rundingan dengan Iran sebagai langkah penting untuk meredakan ketegangan yang berlarutan di rantau itu.

“Kita berbincang mengenai keperluan AS meneruskan rundingan dengan Iran supaya ketegangan dapat dihentikan. Perkara itu memerlukan komitmen dan persefahaman yang kukuh daripada kedua-dua pihak, dan Rubio memaklumkan bahawa AS juga mempunyai hasrat ke arah tersebut,” katanya kepada Bernama.

Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menekankan kepentingan hubungan strategik antara ASEAN dan AS selain mengingatkan bahawa setiap negara anggota mempunyai dasar serta latar belakang berbeza yang perlu dihormati.

Beliau berkata, Malaysia juga membangkitkan kepentingan hubungan dua hala dengan AS yang kekal sebagai antara rakan dagang dan pelabur utama negara.

“Saya tekankan bahawa hubungan dua hala perlu berasaskan kerjasama dan saling menghormati dasar setiap negara ASEAN. Mereka juga perlu memahami bahawa setiap negara mempunyai keunikan serta pendekatan tersendiri,” katanya.

Mengulas mesyuarat PMC ASEAN-India, Mohamad berkata perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan perdagangan, termasuk mengatasi halangan yang mengekang akses produk ASEAN ke pasaran India.

Beliau berkata, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa prosedur birokrasi di India yang disifatkan menyukarkan kemasukan produk dari negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia.

“Kita membawa suara ASEAN supaya urusan perdagangan dipermudah dan tidak wujud dasar perlindungan yang boleh menjejaskan aliran perdagangan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, pada sesi bersama Kanada, Mohamad berkata negara berkenaan menyatakan komitmen untuk membantu memelihara keamanan dan keselamatan di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang penglibatan kuasa luar perlu disalurkan menerusi mekanisme ASEAN bagi memastikan kestabilan rantau terus dipelihara tanpa campur tangan secara langsung.

“Kita mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak, namun ia perlu dilaksanakan melalui platform ASEAN kerana kita mempunyai mekanisme sendiri. ASEAN tidak mahu terlalu banyak campur tangan luar dalam urusan rantau ini,” katanya.

Di luar mesyuarat AMM ke-59 yang berlangsung sempena Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina bertemakan ‘Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama’, Mohamad turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Pemangku Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Christian Saunders serta Menteri Pembangunan Sosial dan Bantuan Palestin, Dr. Samah Hamad.

BBerkaitan

Latest articles