Arab Saudi Umum Perintah Berkurung 24 Jam Semasa Cuti Aidilfitri

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung selama 24 jam sepanjang cuti lima hari sempena Hari Raya Aidilfitri yang bermula 23 Mei di negara itu bertujuan untuk memantau penularan wabak Covid-19.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memaklumkan sebelum tempoh itu, semua aktiviti berjalan seperti biasa dan orang ramai dibenarkan bergerak bebas antara pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang kecuali di Makkah yang masih berada dalam perintah berkurung sepenuhnya.

Sebelum itu, kerajaan Arab Saudi melaksanakan perintah berkurung serta-merta selama 24 jam ke atas perbandaran Baish di wilayah Jazan.

Orang ramai di wilayah itu hanya dibenarkan meninggalkan kediaman masing-masing untuk membeli barangan penting antara jam 9 pagi dan 5 petang sahaja.

BACA JUGA – Jumlah Kenderaan Meningkat 30 Peratus Pada Hari Pertama PKPB

Arab Saudi semalam merekodkan kadar pemulihan tertinggi sejak pandemik berkenaan bermula hampir dua bulan lalu.

Kementerian Kesihatan negara itu merekodkan 2,520 kes pulih, iaitu yang tertinggi setakat ini sejak pandemik itu bermula, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih kepada 15,257.

Jurucakap kementerian, Dr Mohammed Al Abd Al Aly mengulangi amaran untuk orang ramai, agar tidak menganjurkan sebarang perhimpunan.

Kementerian itu mengesahkan 1,911 jangkitan baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 42,925.

Terdapat 27,404 kes aktif ketika ini, dengan 147 daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Pada Mac lalu, Arab Saudi menangguhkan kebenaran melakukan umrah berikutan kebimbangan mengenai pandemik COVID-19.

Pihak berkuasa tahun ini masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pelaksanaan ibadah haji, dijadualkan akhir Julai nanti, namun gesaan sudah dibuat untuk umat Islam agar menangguhkan sebarang persiapan.

Sejumlah 2.5 juta jemaah hari menunaikan ibadat berkenaan di Arab Saudi tahun lalu. – TRI

BBerkaitan

Latest articles