MEKAH: Kerajaan Arab Saudi memperketat kawalan di semua pintu masuk ke Makkah termasuk di kawasan Masjidil Haram bagi memastikan kelancaran serta keselamatan jemaah sepanjang musim haji.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, setiap individu yang ingin memasuki Tanah Suci kini perlu melalui pemeriksaan ketat di sekatan jalan raya, termasuk imbasan dan pengesahan dokumen oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan kemasukan individu tanpa permit sah yang boleh menjejaskan pengurusan jemaah, terutama jika jumlah kehadiran mencecah atau melebihi dua juta orang.
Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan, termasuk denda tinggi serta operasi pemeriksaan dari rumah ke rumah dan hotel ke hotel.
Individu tanpa permit juga diarahkan meninggalkan Makkah sebelum 1 Zulqaedah.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kumpulan pertama seramai 207 jemaah Malaysia yang tiba di Makkah berpeluang menunaikan ibadah umrah dengan lebih selesa berikutan jumlah jemaah yang masih terkawal, sambil menegaskan bahawa tiada peraturan baharu diperkenalkan, sebaliknya penguatkuasaan kini dilaksanakan dengan lebih tegas.










