Anwar: Tolak Politik Perkauman, Kerajaan Bela Semua Tanpa Abaikan Melayu

KLUANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan hari ini tidak pernah mengabaikan kepentingan orang Melayu, sebaliknya melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada semua rakyat berasaskan keperluan tanpa mengira kaum.

Berucap pada program Grand Finale Jelajah Johor ke Depan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dan Machap malam ini, beliau berkata kerajaan tetap mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu, pendidikan kebangsaan serta hak-hak Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan

Menurut beliau, semua pelajar termasuk dari sekolah vernakular, sekolah agama dan sekolah antarabangsa kini tertakluk kepada syarat yang sama, iaitu perlu memperoleh kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Kalau mereka mahu belajar bahasa ibunda masing-masing, silakan. Tetapi syaratnya tetap sama, mesti menguasai Bahasa Melayu dan lulus dengan kepujian,” katanya.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata dakwaan kononnya kerajaan tunduk kepada mana-mana kaum tidak berasas kerana pelbagai inisiatif untuk masyarakat Melayu terus dilaksanakan.

Beliau memberi contoh penyelesaian isu pembinaan rumah generasi baharu FELDA yang tertangguh sekian lama serta langkah kerajaan mengisytiharkan 50 ekar Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur, yang menurutnya merupakan kali pertama dilakukan sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kalau ada pembangunan untuk masyarakat Cina, kita beri. Kalau orang Melayu perlukan kedai dan peluang ekonomi, kita bangunkan juga. Kerajaan mesti berlaku adil kepada semua,” katanya.

Perdana Menteri turut menolak politik berasaskan perkauman yang disifatkannya sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan negara ketika ini.

“Kita sudah berada pada tahun 2026. Malulah kalau masih berkempen dengan memainkan sentimen kaum di hadapan anak-anak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan terus diperkukuh selagi kedudukan kewangan kerajaan mengizinkan dan pentadbiran negara kekal stabil.

Beliau berkata keputusan menyalurkan bantuan tersebut dibuat selepas melihat masih ramai rakyat berpendapatan rendah yang bergelut untuk membeli keperluan asas termasuk minyak masak.

“Sebab itu kita beri STR. Kalau kerajaan stabil dan rakyat terus memberi sokongan, kita akan tambah lagi bantuan kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pentadbirannya berpegang kepada prinsip tadbir urus yang telus dan tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Menurut beliau, semua kontrak kerajaan perlu melalui proses yang telus, termasuk perolehan berkaitan pertahanan, sambil mengingatkan bahawa setiap sen wang kerajaan adalah wang rakyat yang perlu diuruskan dengan penuh amanah.

“Saya tidak mahu curi duit rakyat. Ini duit hasil cukai rakyat dan mesti dijaga sebaik-baiknya,” katanya.

Anwar turut menyentuh mengenai integriti pemimpin apabila mendedahkan bahawa sebuah kenderaan yang diterimanya sebagai hadiah didaftarkan atas nama Jabatan Perdana Menteri dan bukannya atas nama peribadi.

Beliau berkata langkah itu diambil supaya aset berkenaan kekal menjadi milik kerajaan dan boleh digunakan oleh penggantinya apabila beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

Mengakhiri ucapannya, Anwar berkata matlamat beliau pada penghujung karier politik adalah untuk terus bekerja membantu rakyat dan memperkukuhkan tadbir urus negara.

“Selagi Tuhan beri saya kesihatan, saya mahu terus bekerja untuk menolong rakyat. Itulah cita-cita saya,” katanya.

Program Grand Finale tersebut merupakan antara kemuncak kempen Pakatan Harapan menjelang hari pengundian PRN Johor Ke-16 yang dijadualkan berlangsung esok. (Facebook⁠)

BBerkaitan

Latest articles