Cadangan terbaik Festival of Ideas Putrajaya akan dibawa ke Kabinet – Zambry

PUTRAJAYA: Cadangan terbaik yang dikemukakan sepanjang Festival of Ideas (FOI) Putrajaya akan dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan selepas melalui proses saringan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, festival yang memasuki edisi ketiga itu membuka ruang kepada mahasiswa, pensyarah, pakar dan orang ramai untuk mengemukakan pandangan mengenai isu yang menjadi keutamaan negara, termasuk keselamatan makanan.

“Kita menganggap bahawa ini sangat penting untuk kita mendapatkan maklum balas, pandangan dan idea baharu untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas festival itu melabuhkan tirai.

Zambry berkata, komitmen untuk membawa cadangan terpilih ke Kabinet turut dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, manakala Perdana Menteri menyampaikan pendirian sama pada edisi tahun lalu.

Antara saluran yang disediakan ialah Wall of Ideas, yang membolehkan pengunjung mengemukakan cadangan mereka sepanjang festival berlangsung.

Menurut Zambry, hampir 200,000 orang hadir secara fizikal sepanjang tiga hari penganjuran berdasarkan anggaran ketika beliau ditemui. Beliau berkata, sambutan kekal meriah hingga hari terakhir dengan kehadiran mahasiswa, pensyarah dan orang ramai.

Festival itu turut menghimpunkan pakar dari kira-kira 40 negara dalam persidangan khas serta menerima penyertaan wakil dari Türkiye, Kazakhstan, Indonesia, Filipina, Timor-Leste dan Brunei. Lebih 15 anggota Kabinet turut mengambil bahagian sepanjang festival, termasuk sebagai ahli panel.

Zambry berharap FOI diteruskan sebagai program untuk negara walaupun berlaku pertukaran kepimpinan di Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Siapa saja yang datang, yang paling mustahak ialah program ini perlu diteruskan untuk negara kita, untuk masa depan negara kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles