KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan yang didakwa berbaur fitnah ketika satu ceramah politik di Pahang, Jun lalu.
Tuntutan itu difailkan menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi, dengan Anwar sebagai plaintif dan Tuan Ibrahim sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan merujuk kepadanya ketika berucap di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau pada 14 Jun lalu di hadapan orang awam dan wakil media.
Kenyataan berkenaan kemudiannya didakwa dimuat naik di YouTube menerusi akaun @Malaysianometry pada keesokan harinya dengan tajuk “Tuan Ibrahim: Pengulas bola direhatkan lepas sertai PAS, ini tanda-tanda PH nak mampus”.
Menurut Anwar, video berdurasi kira-kira 11 minit itu telah meraih lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen, selain kekal boleh diakses serta dikongsi orang ramai.
Beliau turut mendakwa Tuan Ibrahim menerbitkan video berkenaan di akaun Facebook rasminya pada 15 Jun sebelum ia dimuat naik pula ke akaun Facebook PAS Pahang pada 24 Jun.
Anwar berkata kenyataan tersebut secara langsung merujuk kepada dirinya serta menyentuh watak, integriti, jawatan dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Dalam tuntutan itu, Anwar menafikan pernah mengarahkan atau mempengaruhi PDRM untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu hanya kerana mengkritiknya, kerajaan atau anggota pentadbirannya.
Beliau turut menafikan pernah campur tangan dalam proses penentuan, pemilihan atau pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan dan adat negeri berkenaan.
Anwar mendakwa kenyataan tersebut telah menjejaskan reputasi, maruah, integriti, kredibiliti dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Presiden PKR, Pengerusi Pakatan Harapan serta Ahli Parlimen Tambun.
Sehubungan itu, beliau memohon injunksi bagi menghalang Tuan Ibrahim daripada terus menerbitkan atau mengulangi kenyataan berkenaan, selain memadam semua penerbitan yang didakwa memfitnah daripada akaun media sosial atau platform di bawah kawalannya.
Anwar turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta apa-apa relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.










