KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada pelarian Rohingya di negara ini supaya mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa, sambil menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
Menurut beliau, meskipun isu Rohingya perlu dilihat dari sudut kemanusiaan, pelarian terbabit tidak boleh bertindak sesuka hati termasuk dalam soal pembinaan bangunan atau menjalankan perniagaan tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.
Kata Anwar, kerajaan akan terus berpegang kepada prinsip tegas dalam penguatkuasaan undang-undang dan sebarang pelanggaran tidak akan dibiarkan begitu sahaja.
“Bangunan yang didirikan, perniagaan yang dijalankan dan apa sahaja aktiviti mesti mematuhi peraturan negara. Jika gagal mematuhi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Hidayah, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan kerajaan akan berunding dengan kerajaan negeri berhubung isu pembinaan bangunan yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya kerana perkara itu turut melibatkan aspek perancangan bandar dan kuasa pihak berkuasa negeri.
Beliau berkata, isu berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dihadiri wakil Kementerian Dalam Negeri, dengan kerajaan mengekalkan pendirian untuk mengambil tindakan terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan rakyat tempatan agar tidak mengetepikan nilai kemanusiaan ketika berdepan pelbagai isu melibatkan komuniti pelarian tersebut.
“Walaupun terdapat pelbagai rungutan dan masalah yang timbul, masyarakat khususnya umat Islam perlu mengekalkan sikap berperikemanusiaan serta mengelakkan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya.
Mengulas gesaan segelintir pihak supaya pelarian Rohingya dihantar pulang ke negara asal mereka, Anwar menjelaskan perkara itu tidak semudah yang disangka kerana terdapat kekangan melibatkan pihak berkuasa Myanmar.
Menurut beliau, dalam beberapa siri pertemuan dengan kepimpinan Myanmar sebelum ini, Malaysia telah menggesa supaya bantuan kemanusiaan yang disalurkan dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat negara itu selain mendesak agar penindasan dan kekejaman terhadap masyarakat Islam serta rakyat Myanmar secara keseluruhannya dihentikan.
Sebelum ini, satu petisyen yang menggesa pelarian Rohingya dihantar pulang atau ditempatkan semula di negara ketiga dilaporkan mendapat lebih 195,000 tandatangan setakat Khamis lalu.
Petisyen yang dilancarkan oleh akaun “Aku Anak Malaysia” pada 29 Mei itu turut menyasarkan sejuta tandatangan dan menggesa kerajaan mencari penyelesaian lebih menyeluruh terhadap isu kebanjiran pelarian Rohingya yang didakwa memberi tekanan kepada sumber, infrastruktur serta perkhidmatan sosial negara.










