Anwar Rayu Rakyat Johor Beri Mandat Kepada PH Bentuk Kerajaan Negeri

JOHOR BAHRU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, merayu rakyat Johor supaya memberikan peluang kepada gabungan itu mentadbir negeri berkenaan dengan memberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung dalam beberapa hari lagi.

Perdana Menteri berkata, baki tempoh berkempen yang masih berbaki perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pengundi untuk membuat pilihan yang diyakini mampu membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Anwar berkata beliau berharap rakyat Johor memberi kepercayaan kepada PH untuk memimpin negeri tersebut, sambil berjanji gabungan itu akan berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan kepentingan Johor serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

“Berbaki hanya beberapa hari sebelum rakyat Johor membuat pilihan, saya merayu agar diberikan peluang kepada HARAPAN untuk berkhidmat kepada negeri ini.

“Insya-Allah, kami akan bekerja bersungguh-sungguh, mempertahankan kepentingan Johor dan memastikan kemajuan yang dibawa benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.

PRN Johor Ke-16 menyaksikan persaingan sengit apabila seramai 172 calon bertanding bagi merebut kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Untuk membentuk kerajaan negeri, sesebuah gabungan perlu memperoleh sekurang-kurangnya 29 kerusi bagi mencapai majoriti mudah.

Daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan, sebanyak 42 DUN menyaksikan pertandingan melibatkan lebih daripada dua calon, manakala baki 14 kerusi menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

BBerkaitan

Latest articles