KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kapal tinjau milik Petronas yang dikepung ratusan bot nelayan Indonesia di perairan berhampiran Ketapang, Pulau Madura minggu lalu tidak menceroboh kawasan negara jiran, sebaliknya beroperasi sepenuhnya dalam wilayah perairan Malaysia.
Anwar berkata, kapal tersebut sedang menjalankan aktiviti carigali minyak dan gas yang sah di kawasan milik Malaysia dan tidak pernah melanggar sempadan maritim antarabangsa.
“Petronas itu hanya melakukan carigali di kawasan yang memang milik kita, bukan di kawasan lain,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian) dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, insiden yang berlaku pada 17 Oktober lalu itu telah diselesaikan secara baik antara pihak berkuasa kedua-dua negara tanpa menjejaskan hubungan diplomatik.
“Gangguan itu tidak sampai ke tahap perlu menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Kita selesaikannya secara sahabat,” jelas Anwar.
Beliau menjelaskan, isu persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia sememangnya masih dalam proses rundingan dan beberapa perkara belum dimuktamadkan sepenuhnya, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menangani insiden seperti ini melalui saluran diplomatik.
“Ada kes-kes melibatkan nelayan dari kedua-dua negara, sama ada Malaysia–Indonesia atau sebaliknya, dan kita sentiasa berusaha menyelesaikannya dengan baik,” tambah beliau.
Sebelum ini, media Indonesia melaporkan suasana tegang di perairan Ketapang apabila sekitar 100 bot nelayan tempatan mengepung kapal tinjau Petronas Prospero 9 yang didakwa mengganggu kawasan penangkapan ikan tradisional di Sumur Barokah.
Beberapa video tular menunjukkan nelayan menjerit ke arah kapal berkenaan sambil menggesa ia menghentikan operasi dan beredar dari kawasan tersebut.
Menurut laporan Tribunnews, seorang nelayan, Faisol Rahman, mendakwa kapal itu telah beroperasi selama tiga hari sebelum konfrontasi berlaku.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia menegaskan tiada pelanggaran sempadan dilakukan, dan perkara itu kini dianggap selesai secara diplomatik.










