KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir pada Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji hari ini kerana masih menjalani rawatan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan mengikuti perjalanan perbahasan itu secara dekat bagi memastikan amanah membabitkan institusi umat Islam berkenaan terus dipelihara.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar memohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama Ahli Parlimen dalam sidang khas berkenaan selain mendoakan agar persidangan berjalan lancar.
“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau, termasuk mereka yang menyampaikan ucapan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-79 pada Isnin.
Menurut Tunku Nashrul, keadaan kesihatan Perdana Menteri kini semakin baik.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan Perdana Menteri semakin baik dan beliau akan terus menjalani rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan,” katanya.
Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini memberi tumpuan kepada pembentangan dan perbahasan Laporan RCI Tabung Haji, yang antara lain meneliti isu pengurusan serta tadbir urus institusi berkenaan.










