Anwar Mahu Pentadbiran Johor Selari Putrajaya

MUAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri Johor bergerak selari dengan dasar serta polisi kerajaan Persekutuan bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

​Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kesepaduan visi antara kedua-dua pihak adalah kritikal bagi memudahkan urusan rundingan, pelaksanaan projek-projek berskala besar, serta penyaluran bantuan demi kesejahteraan rakyat Johor.

​”Sebab itu saya kata mengapa pilihan raya di Johor bagi kita penting? Saya mahu Johor sealiran dengan Persekutuan dari segi polisi dan persahabatan, tanpa sebarang keraguan. Ini penting. Kita mahu Johor sama supaya senang rundingan, senang tolong, dan senang bincang,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan “Keadilan Untuk Bangsa Johor” di Muar, Johor malam tadi.

​Mengulas lanjut mengenai projek berimpak tinggi di negeri berkenaan, Perdana Menteri menarik perhatian kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan Forest City yang disifatkannya sebagai pemangkin utama ekonomi negeri.

​Anwar menjelaskan, walaupun kerajaan negeri memberikan kerjasama yang baik, namun peranan kerajaan Persekutuan dalam mengetuai rundingan antarabangsa, termasuk dengan pemimpin Singapura, menjadi kunci utama kepada kejayaan projek tersebut.

​”Projek besar Johor-Singapore Economic Zone itu kita runding. Saya tidak kata kerajaan Johor tidak tolong, mereka tolong. Tetapi siapa buat? Kita buat. Siapa runding? Saya runding dengan (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Hsien Loong dan kemudian dengan Lawrence Wong. Setuju, jalan,” katanya.

​Di samping pemantapan ekonomi makro, beliau turut memberi jaminan bahawa penyelarasan yang mantap dengan Persekutuan akan memastikan isu-isu domestik melibatkan rakyat marhaen seperti golongan nelayan, kemiskinan, serta infrastruktur awam yang daif dapat diselesaikan dengan lebih efisien.

​Sebagai bukti komitmen Putrajaya, Anwar menyatakan kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan ratusan juta ringgit bagi Projek Tebatan Banjir di daerah Muar yang kini hampir siap sepenuhnya bagi mengatasi masalah yang membelenggu penduduk setempat sejak sekian lama.

​”Sudah jaga negara, apa pasal sibuk soal Johor? Saya kata saya mahu negeri Johor wakil dan negeri tukar dasar… Soalnya bagi Johor, saya tidak mahu tengok isu nelayan belum selesai dan orang miskin masih ada di negeri yang kaya,” jelas beliau.

​Dalam pada itu, Anwar turut menyeru kepimpinan masa hadapan Johor terdiri daripada individu yang bijak dan berani membuat keputusan demi menjaga kepentingan negeri, namun pada masa sama sentiasa berpaksikan kepada hakikat bahawa Johor adalah sebahagian daripada Malaysia.

​Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terperangkap dengan politik sentimen perkauman yang sering dimainkan oleh pihak tertentu demi meraih kepentingan politik, sebaliknya fokus kepada politik pembangunan masa depan yang merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, dan kebajikan.

BBerkaitan

Latest articles