KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaan bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Perkara itu disahkan Pegawai Hadi yang juga Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, yang memaklumkan keterangan berkenaan direkodkan di Kuala Lumpur beberapa hari lalu.
Beliau berkata siasatan masih diteruskan, termasuk dengan memanggil beberapa saksi bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran lanjut mengenai dakwaan tersebut.
“Difahamkan perkara berkenaan masih dalam proses siasatan, beberapa saksi turut dipanggil (beri keterangan),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Menurut Syahir, Hadi memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan urusan berkenaan kepada polis bagi menghormati proses siasatan.
Isu itu tercetus selepas Hadi, ketika menyampaikan ucapan pada Muktamar Tahunan PAS ke-72, mendakwa parti berkenaan pernah menerima tawaran sokongan daripada AS untuk menggulingkan kerajaan BN pada 2014.
Dakwaan itu dikaitkan dengan lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.
Hadi mendakwa Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang ketika itu memegang jawatan penolong setiausaha agung PAS, bersama Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar selaku setiausaha politiknya, menghadiri pertemuan di Kedutaan AS.
Bagaimanapun, beliau berkata kedua-dua pemimpin berkenaan menolak tawaran tersebut dan tidak terpengaruh dengan usaha berkenaan.
Kedutaan AS di Kuala Lumpur kemudian menolak dakwaan itu, dengan menegaskan bahawa Washington tidak pernah mencampuri urusan menentukan kepimpinan Malaysia.










