MCA Jangka PRU16 Diadakan Dalam Tempoh Empat Hingga Lima Bulan Lagi

BATU PAHAT: MCA menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berkemungkinan diadakan dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang, berdasarkan rekod kerajaan terdahulu yang lazimnya tidak menunggu sehingga tamat tempoh lima tahun sebelum membubarkan Parlimen.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata corak pentadbiran sebelum ini menunjukkan pilihan raya umum sering diadakan selepas kira-kira empat tahun, malah ada yang berlangsung lebih awal.

Beliau berkata, tempoh pentadbiran bagi 15 pilihan raya umum terdahulu perlu dijadikan rujukan dalam menilai kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal.

“Kalau nak disegerakan, saya rasa memang lazimnya akan berlaku, tak sampai lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Johor di Yong Peng, di sini, semalam.

Mengulas persiapan parti, Ka Siong berkata MCA sentiasa bersedia menghadapi PRU16 dengan memperkukuh jentera pilihan raya di seluruh negara.

Menurutnya, faktor kalendar perayaan dan keagamaan juga perlu diambil kira sekiranya kerajaan mempertimbangkan tarikh pembubaran Parlimen.

“Tahun Baru Cina pada Februari tahun depan, manakala Ramadan bermula hari kedua Tahun Baru Cina dan bulan tiga sudah Aidilfitri.

“Kita kena tengok semua perayaan ini dan tidak ada satu tarikh (yang sesuai). Jadi, kita rasa bila-bila masa boleh diadakan kecuali kalau kerajaan mahu anjak sehingga habis penggal,” katanya.

Beliau menegaskan, MCA tidak berdepan masalah untuk menghadapi pilihan raya sekiranya PRU16 dipercepatkan, kerana persiapan parti bukan sesuatu yang dilakukan pada saat-saat akhir.

“Kalau nak PRU lagi cepat tak ada masalah. Kita sentiasa bersiap sedia. Bukan buat persediaan esok nak lawan baru hari ini kita siap sedia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles