KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa polis mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang didakwa mengisytiharkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Aminuddin menyifatkan pengumuman yang dibuat barisan exco pada 16 September lalu sebagai perbuatan derhaka terhadap Tuanku Muhriz, selain mempersoalkan kesahihan tindakan berkenaan.
Menurutnya, proklamasi bertarikh 19 April yang menjadi asas kepada pengumuman itu pernah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani ketika beliau masih menerajui kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau enggan menandatangani dokumen tersebut atas alasan yang telah dinyatakan secara terbuka ketika itu, termasuk pendirian kerajaan negeri yang tidak dapat menerima tindakan terhadap Mubarak Dohak yang didakwa bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong.
“Tindakan ahli-ahli exco mengeluarkan pengumuman pada 16 September 2026 merupakan suatu perbuatan derhaka terhadap DYMM Tuanku Muhriz.
“Saya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap setiap ahli exco yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mempersoalkan tindakan mengemukakan semula proklamasi berkenaan kepada menteri besar lain selepas empat bulan, sedangkan dokumen sama sebelum ini tidak ditandatangani olehnya.
Beliau berkata, tiada sebarang dakwaan pernah dikemukakan terhadap Tuanku Muhriz, selain baginda tidak diberikan peluang untuk menjawab sebarang dakwaan yang dikaitkan dengan kedudukannya.
“Hal ini merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin mempersoalkan perubahan pendirian kerajaan negeri berhubung status proklamasi tersebut yang berlaku dalam tempoh hanya tujuh hari.
Katanya, pada 9 September lalu, kerajaan negeri semasa secara terbuka menyatakan dokumen berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara ditetapkan, selain menganggapnya tidak sah, bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.
“Namun, tujuh hari kemudian, ahli-ahli exco kerajaan negeri yang sama pula memutuskan bahawa proklamasi tersebut telah lengkap dan berkuat kuasa. Perubahan pendirian ini sukar difahami,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), ahli exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Semalam, barisan exco Negeri Sembilan mengumumkan bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah, selain mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu.
Kenyataan itu menyebut keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, kelmarin.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
DKU turut mendakwa tiada proses sah yang menyebabkan baginda terhenti daripada memegang jawatan berkenaan, sekali gus meletakkan kesahihan proklamasi dan pengumuman exco sebagai isu yang dipertikaikan.










