Anwar Ingatkan Anak Muda Elak Pertembungan Idea Cetek, Dangkal Ilmu

​KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan generasi muda agar tidak terperangkap dalam pertembungan idea yang cetek dan berasaskan kedangkalan ilmu semata-mata.

​Beliau memberi amaran bahawa sikap mudah menghukum orang lain yang berbeza pandangan sebagai ‘tidak Islam’ atau ‘kafir’ hanya akan merosakkan masyarakat jika tidak ditangani dengan kefahaman yang mendalam.

​”Sebab itu cabaran terbesar bagi anak-anak muda ialah memastikan tahap kefahaman itu mendalam.

“Pertempuran hari ini bukan sahaja pertembungan idea, tetapi kedangkalan yang dibawa atas motif benci atau mahu mempertahankan kelompok sendiri,” tegas beliau.

​Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Temu Anwar dan Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (Hamka) Antarabangsa 2026 di sini pada Khamis.

​Menurut beliau, pembentukan pemikiran dan jiwa yang merdeka menerusi kekuatan ilmu merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh masyarakat, khususnya golongan muda, dalam era pasca penjajahan.

​Mengutip pandangan tokoh alim tersohor, Muhammad Al-Ghazali, beliau menjelaskan bahawa cabaran paling berkesan dan menekan pasca merdeka ialah iaitu penjajahan jiwa dan pemikiran.

​”Sebab itu kita harus ada kekuatan baharu, iaitu kekuatan ilmu.

“Penjajahan itu bukan sahaja penaklukan oleh kuasa asing, tetapi sistem yang dipaksakan ke atas kita yang menjalar ke bidang pendidikan, hukum, dan yang lebih parah, jiwa serta pemikiran,” katanya.

​Mengulas mengenai ketokohan Buya Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai seorang alim, sastrawan, dan filsuf bangsa di Rantau Melayu yang tiada tandingan.

​Beliau turut mengimbas sejarah perjuangan Buya Hamka yang pernah dipenjarakan selama beberapa tahun di bawah rejim Soekarno atas tuduhan pembangkang dan kelompok komunis.

​”Namun, beliau memanfaatkan waktu di penjara dengan menyiapkan ‘Tafsir Al-Azhar’, sebuah tafsir yang bukan sahaja melihat makna dan takwil Al-Quran, tetapi juga menyentuh lingkungan rantau Melayu, adat, bahasa, dan peribahasanya,” jelas beliau.

​Tambah Perdana Menteri, keperibadian Buya Hamka yang berjiwa besar terbukti apabila beliau sedia mengimamkan solat jenazah Soekarno selepas bekas Presiden Indonesia itu wafat, meskipun tindakan itu kurang disenangi sesetengah pihak.

​”Hamka dipenjarakan, dihina, tetapi apabila Soekarno wafat, pesanan Soekarno adalah ‘minta Hamka imamkan solat jenazah saya’. Dan Hamka tanpa tangguh, hadir mengimamkan solat jenazah orang yang memenjarakannya. Ini jiwa besar yang lahir daripada kekuatan ilmu dan ketakwaan,” kata Anwar.

BBerkaitan

Latest articles