KUBANG SEMANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang bakal menamatkan perkhidmatannya, atas dedikasi sepanjang menerajui badan antirasuah itu.
Menurut beliau, Azam telah melaksanakan amanah yang digalas dengan penuh tanggungjawab dan komitmen tinggi sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Kerajaan merakamkan penghargaan atas segala usaha dan khidmat beliau. Kini, tanggungjawab tersebut akan diteruskan oleh kepimpinan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan NADI Kubang Semang di Yayasan Aman, semalam.
Dalam perkembangan sama, Anwar menyifatkan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu sebagai langkah tepat, bersandarkan pengalaman luas serta integritinya dalam bidang kehakiman.
Beliau menegaskan, Abdul Halim tidak terikat dengan sebarang kepentingan perniagaan mahupun politik, sekali gus memberi keyakinan kepada kerajaan terhadap keupayaannya memimpin SPRM secara bebas dan telus.
“Latar belakang beliau dalam bidang kehakiman serta ketiadaan penglibatan dalam kepentingan lain menjadikan beliau calon yang sesuai untuk memperkukuh peranan SPRM,” ujarnya.
Tambah Anwar, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Sultan Ibrahim, dengan tempoh perkhidmatan selama dua tahun dipersetujui.










