KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan sudah menerima surat pelucutan keahlian UMNO.
Surat itu dihantar dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Katanya, surat berkenaan hanya menyebut seksyen-seksyen berkaitan tanpa menyatakan secara spesifik perbuatan atau tindakan yang terkait dengan pelucutan keahliannya.
Dalam masa yang sama Annuar memaklumkan beliau menerima surat itu dengan berlapang dada.
“Saya ucapkan terima kasih.
“Insya-Allah, sehari dua lagi saya akan menjawab surat yang saya terima,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad pada 9 Disember lalu mengesahkan Annuar antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Turut dipecat adalah Ketua Wanita UMNO bahagian Arau Datin Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas ketua UMNO bahagian itu, Datuk Shahidan Kassim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.