Anggota PASKUB JBPM Hilang Ketika Misi Pendakian Di Nepal

KUALA LUMPUR: Kebimbangan menyelubungi keluarga dan rakan pendaki selepas seorang anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di Nepal.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM di Lapangan Terbang Subang, gagal dikesan selepas hubungan komunikasi terputus susulan banjir besar yang melanda kawasan berkenaan, semalam.

Dalam kejadian sama, Timbalan Pengarah Bahagian di Ibu Pejabat JBPM, Mohd Sani Harul, turut dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian berkenaan.

Mohd Fakhrul Munir, yang lebih dikenali sebagai ‘Loe’ dalam kalangan penggiat sukan lasak, mempunyai pengalaman hampir 25 tahun dalam aktiviti pendakian serta pelbagai sukan ekstrem.

Memetik BH, isterinya, Hani Othman, tidak dapat memberikan keterangan lanjut kerana masih terkesan dengan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa mereka sempat berhubung pada pagi semalam ketika suaminya berhenti untuk minum kopi dalam perjalanan di kawasan sempadan Nepal-China.

Menariknya, beberapa hari sebelum kejadian, Mohd Fakhrul Munir menerusi hantaran di media sosial pada 2 Ogos lalu pernah berkongsi pandangan mengenai risiko dalam aktiviti pendakian dan tragedi membabitkan pendaki di kawasan pergunungan tinggi.

Beliau antara lain mengingatkan pendaki supaya tidak mengambil mudah cabaran alam, mengelakkan pendakian secara bersendirian serta sentiasa mematuhi arahan ketua dan perkembangan cuaca.

“Walau sehebat mana sekalipun kita dengan pengalaman dan kekuatan, janganlah dicabar hukum alam. Sentiasa bersedia untuk sebarang perkara yang tidak dijangka.

“Tidak hilang penghormatan diri seseorang seandainya gagal ke puncak, bahkan keputusan besar itu amat dihormati andai ego dibuang jauh dari sisi,” katanya.

Pandangan itu turut menyentuh kepentingan disiplin serta sikap akur terhadap keadaan cuaca ekstrem, yang sering menjadi faktor utama dalam perbincangan mengenai keselamatan pendaki di kawasan pergunungan tinggi.

Ketika ini, perkembangan mengenai nasib kedua-dua pegawai berkenaan sedang dipantau pihak berkaitan, manakala usaha mengesan dan menyelamat mereka diteruskan bersama pihak berkuasa tempatan serta pasukan penyelamat di kawasan terbabit.

BBerkaitan

Latest articles