KUALA LUMPUR: Pandangan tegas dilontarkan Datuk Mohd Nazifuddin Najib apabila beliau menyifatkan keputusan mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak, seolah-olah sudah ditentukan sejak awal.
Bagi Nazifuddin, proses yang dilalui tidak dirasakan sebagai satu perbicaraan adil, sebaliknya lebih kepada pelaksanaan hukuman yang telah disusun.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu berkata, sukar untuk menerima dari sudut logik apabila seseorang dikenakan puluhan pertuduhan sehingga membawa kepada hukuman yang disifatkan hampir menyamai penjara seumur hidup serta denda berjumlah berbilion ringgit.
Katanya, dalam kefahaman umum, seseorang tidak boleh dihukum berulang kali atas kesalahan yang sama, justeru situasi tersebut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat biasa.
Kenyataan itu dikongsikan beliau menerusi satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Selain isu jumlah pertuduhan, Mohd Nazifuddin turut mempersoalkan pendirian mahkamah berhubung dakwaan sumbangan keluarga diraja Arab yang tidak diterima sebagai sah, sedangkan pada masa sama jumlah berkenaan dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Keadaan itu, katanya, menimbulkan tanda tanya besar terhadap konsistensi keputusan berkaitan kes berprofil tinggi tersebut.
Beliau juga membangkitkan persoalan mengapa individu lain yang diketahui menerima wang berkaitan 1MDB, termasuk beberapa tokoh terkenal, masih tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Walaupun mengakui terdapat banyak isu perundangan yang akan dibawa oleh pasukan peguam, Mohd Nazifuddin menegaskan bahawa bapanya boleh dituduh dengan pelbagai dakwaan, namun bukan individu yang mencuri wang 1MDB.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa hukuman dan denda yang dikenakan tidak akan memadamkan jasa serta sumbangan Najib kepada negara sepanjang tempoh pentadbirannya.
Sehubungan itu, Mohd Nazifuddin menyeru semua pihak yang masih percaya agar terus memberikan sokongan moral dan mendoakan kekuatan buat bapanya, sambil mengajak rakyat berdiri bersama atas dasar maruah dan kemanusiaan.










