Faris Johari Dimasyhur Undang Luak Sungai Ujong Ke-11

SERI MENANTI: Faris Johari hari ini secara rasmi dimasyhurkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 bergelar Datuk Klana Petra dalam Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Sungai Ujong yang berlangsung penuh adat istiadat di Istana Besar Seri Menanti.

Istiadat itu disempurnakan dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang turut menerima sembah taat setia daripada Faris selepas baginda memberi perkenan memulakan istiadat.

Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz mengingatkan Undang Luak Sungai Ujong yang baharu supaya berpegang teguh kepada setiap ikrar yang dilafazkan dengan penuh keikhlasan, amanah dan rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin adat.

Baginda turut menegaskan kepentingan menjunjung taat setia kepada Institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan yang erat dan penuh hormat antara kepimpinan adat dengan pihak istana.

“Beta mengingatkan Orang Kaya beta sentiasa menjunjung taat setia kepada Institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan erat dan penuh hormat dengan beta dan istana,” titah baginda.

Menurut Tuanku Muhriz, hubungan yang dibina berteraskan saling menghormati, kepercayaan dan muafakat menjadi tunjang penting dalam memastikan kelangsungan pemerintahan beraja, kedaulatan adat serta kesejahteraan Negeri Sembilan.

Baginda turut menyeru rakyat supaya terus berganding bahu dengan kepimpinan adat dalam memperkemaskan pelaksanaan urusan adat, di samping mengekalkan penghormatan terhadap warisan dan nilai tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.

Istiadat berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-’Abidin.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, bersama barisan ketua jabatan kerajaan negeri.

Faris, 28, dilahirkan pada 30 Oktober 1997 dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Beliau turut memperoleh kelayakan profesional Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada tahun 2022.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Amirah Syed Ismail Ash-Shahab.

Istiadat di Istana Besar Seri Menanti dijadual diteruskan pada sebelah petang dengan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau ke-22 yang turut diperkenankan oleh Tuanku Muhriz. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles