JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni berikrar menyalurkan keseluruhan gajinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada rakyat menerusi skim kad subsidi sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Memetik laporan Malaysia Gazette, bekas ADUN Bukit Naning itu berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan buat pertama kali sebagai komitmennya untuk membantu meringankan kos sara hidup penduduk dan tidak pernah ditawarkan ketika bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Menurut beliau, skim tersebut akan memanfaatkan 300 isi rumah yang layak dengan setiap penerima menikmati subsidi RM30 bagi pembelian barangan keperluan di pasar raya panel yang ditetapkan.
Katanya, mekanisme itu membolehkan pemegang kad menikmati potongan RM30 setiap kali berbelanja, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM9,000 sebulan, bersamaan gaji yang diterimanya sebagai ADUN.
“Saya mahu pulangkan gaji saya kepada rakyat sepanjang tempoh sepenggal jika diberi peluang sekali lagi mewakili Bukit Naning,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon dalam pertandingan lima penjuru di Pusat Penamaan Calon, Dewan Angsana Maktab Teknik PDRM, hari ini.
Md Ysahrudin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor berkata, beliau mampu melaksanakan janji tersebut kerana mempunyai sumber pendapatan sendiri hasil tanah yang diusahakan bagi menampung keperluan keluarga.
Beliau berharap bantuan itu dapat mengurangkan beban penduduk yang masih memerlukan sokongan, terutama dalam aspek kebajikan.
Selain kebajikan, beliau berkata, usaha menyelesaikan pelbagai isu infrastruktur yang masih dihadapi penduduk Bukit Naning turut menjadi antara fokus utama sekiranya dipilih semula sebagai wakil rakyat.
Mengulas persaingan lima penjuru di kerusi berkenaan, Md Ysahrudin berkata, beliau menghormati semua pencabar, namun yakin pengalaman dan rekod perkhidmatannya sebagai bekas ADUN menjadi kelebihan untuk meraih keyakinan pengundi.
“Saya datang bukan sebagai raja, tetapi untuk bekerja kepada rakyat. Pilihlah pemimpin yang benar-benar mampu berkhidmat,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Md Ysahrudin berdepan saingan daripada Mohd Ghazali Sabari mewakili Barisan Nasional (BN), Mohd Radzi Amin (Perikatan Nasional), Iskandar Md Alias (Parti Bersama Rakyat) serta calon Bebas, S. Jeganathan.










