PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bahawa pengambilan doktor dan jururawat baharu tidak akan terjejas meskipun terdapat cadangan penyusunan semula perbelanjaan operasi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan langkah rasionalisasi itu tidak melibatkan aspek kritikal seperti penambahan tenaga kerja kesihatan serta pembangunan kemudahan perubatan yang terus menjadi keutamaan kerajaan.
Beliau berkata, wujud salah faham dalam kalangan masyarakat yang menganggap pelarasan perbelanjaan tersebut akan memberi kesan kepada sektor kesihatan.
“Pengambilan doktor dan jururawat baharu tidak terjejas. Begitu juga pembinaan klinik, semuanya diteruskan seperti dirancang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pelarasan perbelanjaan turut melibatkan sektor pendidikan, namun tidak menjejaskan keperluan asas termasuk pembinaan kelas baharu bagi menampung peningkatan jumlah pelajar.
“Ada pihak terlalu cepat membuat andaian sehingga timbul dakwaan kononnya peruntukan untuk sekolah dan hospital dikurangkan secara drastik. Itu tidak benar,” ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak RM5.4 bilion melibatkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Bagaimanapun, kementerian itu menjelaskan pelarasan hanya membabitkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala komponen teras seperti perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan kekal diteruskan selaras dengan peruntukan dalam Belanjawan 2026.
Peruntukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia juga kekal antara yang tertinggi, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan.










