Amirudin Mahu Pemeriksaan Pusat Sembelihan Ayam Dipertingkat, Tindakan Tegas Terhadap Pesalah

SHAH ALAM: Operasi pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam segar yang disyaki melanggar prosedur serta piawaian halal tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu dipantau secara berkala dan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pemeriksaan lebih kerap perlu dilaksanakan bagi memastikan semua premis berkenaan mematuhi prosedur operasi dan piawaian ditetapkan.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama lebih erat antara badan pengeluar sijil halal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pemantauan terhadap operasi pusat penyembelihan dilakukan secara berterusan.

Katanya, tindakan tegas termasuk pendakwaan perlu diambil terhadap pihak yang didapati melanggar undang-undang, terutama selepas serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Serbuan sudah dilakukan dan apa yang sewajarnya diambil adalah tindakan tegas termasuk pendakwaan dan sebagainya supaya kita boleh mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

“Pengeluar sijil dan PBT perlu bekerja bersama. Pemeriksaan berkala harus dibuat supaya kita boleh memastikan operasi sensitif seperti pusat penyembelihan dapat beroperasi mengikut prosedur dan piawaian yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NUTRISEL & Mega NUTRISEL), hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan aduan serta perkongsian maklumat daripada orang ramai bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap premis terbabit.

Katanya, penglibatan masyarakat bersama semua agensi berautoriti penting bagi memastikan operasi pusat penyembelihan sentiasa berada di bawah pengawasan sewajarnya.

Sebelum ini, media melaporkan ayam segar yang diproses di sebuah pusat penyembelihan dan pemprosesan di Puchong dipercayai dikenakan renjatan elektrik sebelum disembelih.

Dalam serbuan menerusi Ops Taring Chiller, Jumaat lalu, pihak berkuasa merampas lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak serta keperluan pensijilan halal.

Pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik dalam proses penyembelihan.

Seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles