KKM Sedia Pertimbang Semakan Gaji Doktor Kanan Isi 750 Jawatan Di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia mempertimbangkan cadangan menyemak semula gaji dan imbuhan doktor kanan bagi menarik lebih ramai pegawai perubatan mengisi 750 kekosongan jawatan tetap di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan kakitangannya, termasuk cadangan yang dibangkitkan berhubung perkara itu.

“Saya telah memperhatikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan kakitangan kami dan saya rasa untuk permohonan ataupun cadangan yang dibuat oleh Bukit Gelugor itu, kita bersedia mempertimbangkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ramkarpal meminta penjelasan sama ada KKM menyokong cadangan supaya gaji dan imbuhan doktor kanan dikaji semula bagi menggalakkan mereka mengisi 750 jawatan berkenaan, selain mendapatkan pendirian serta cadangan kementerian berhubung isu itu.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian susulan laporan Malaysiakini pada Isnin yang mempersoalkan sama ada tawaran jawatan tetap Gred UD10 mampu menarik minat doktor berpengalaman untuk kembali berkhidmat dengan KKM.

Laporan bertajuk ‘750 jawatan doktor di Sabah, Sarawak: Doktor senior tapi gaji permulaan, siapa nak?’ memetik pandangan jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Muhammad Yassin yang menyifatkan tawaran Gred UD10 mungkin tidak setimpal dengan pengalaman dan senioriti doktor terbabit.

Beliau mencadangkan supaya doktor yang mempunyai pengalaman lebih luas ditawarkan sekurang-kurangnya Gred UD12 dan ke atas, selain penyelarasan gaji serta insentif yang lebih munasabah.

Pandangan sama disuarakan Presiden Yayasan AbiMedik, Dr Shahrizal Azwan Samsudin yang berkata, ramai doktor kontrak yang meninggalkan KKM sejak sistem lantikan kontrak diperkenalkan pada 2016 mungkin sudah mengumpul pengalaman bertahun-tahun atau mengikuti latihan kepakaran.

Menurut laporan itu, seorang doktor yang pernah berkhidmat dengan KKM mendakwa gaji permulaan Gred UD10 adalah RM3,840 sebulan, berbanding pendapatan antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi doktor di sektor swasta.

Dr Shahrizal turut mencadangkan supaya KKM menyediakan pakej lebih menarik termasuk elaun wilayah lebih tinggi, penambahbaikan infrastruktur kesihatan serta bantuan kos perpindahan bagi menggalakkan doktor berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menggesa inisiatif pengambilan khas berkenaan diperluaskan kepada jururawat dan paramedik.

Untuk rekod, KKM pada 29 Oktober mengumumkan pengambilan khas bagi mengisi 750 kekosongan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD10 secara tetap di Sabah dan Sarawak.

Permohonan dibuka dari 9 hingga 15 November ini dan tawaran berkenaan turut melibatkan pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah tamat tempoh perkhidmatan.

Calon yang berjaya dijadualkan melapor diri pada 15 Februari 2027.

Bagaimanapun, jawapan Dzulkefly di Dewan Rakyat setakat ini hanya menyatakan kesediaan KKM mempertimbangkan cadangan berkenaan tanpa memperincikan sebarang keputusan mengenai perubahan gred, struktur gaji atau insentif tambahan.

BBerkaitan

Latest articles